Search

KM tiada kaitan ‘serangan’ cyber troopers, tuduhan tidak berasas – Azrul

April 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim menafikan sebarang kaitan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan serangan ‘cyber troopers’ terhadap seorang pempengaruh media sosial.

Beliau berkata, Ketua Menteri tidak pernah mengamalkan politik sempit untuk menyerang peribadi mana-mana pihak, sesuai dengan karakter beliau sebagai seorang pemimpin yang berhemah dan berhikmah.

Katanya, beliau memandang serius tuduhan liar dan fitnah jahat dilemparkan individu terbabit yang beberapa kali cuba mengaitkan Ketua Menteri dengan dakwaan berkenaan.

“Tuduhan ini jelas tidak berasas dan berniat jahat. Hakikatnya DSP Hajiji sentiasa fokus kepada agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Beliau tidak pernah mengamalkan politik sempit untuk menyerang peribadi mana-mana pihak, sesuai dengan karakter beliau sebagai seorang pemimpin yang berhemah dan berhikmah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Tuduhan itu antara lain menyebut kononnya Ketua Menteri membayar ‘cyber troopers’ untuk menyerang pempengaruh terbabit yang sebelum ini dikecam kerana didakwa membela golongan pendatang tanpa izin (PTI).

Azrul berkata, sebelum ini turut tular tangkap layar perbualan WhatsApp di antara individu terbabit dengan seseorang yang cuba mengaitkan namanya dengan gerakan melemahkan parti politik tertentu.

“Saya menegaskan bahawa perkara tersebut juga adalah tidak benar dan merupakan satu lagi cubaan untuk mencetuskan persepsi negatif serta mengeruhkan suasana politik.

“Sehubungan itu, saya ingin menggesa semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial. Hentikan penyebaran fitnah, tohmahan dan maklumat tidak benar yang hanya akan merosakkan keharmonian masyarakat,” katanya.

Katanya, fokus semua pihak seharusnya kepada usaha membina Sabah yang lebih maju, stabil dan sejahtera, bukan terperangkap dalam permainan persepsi dan politik kebencian. – Info X