Search

Seorang maut, seorang cedera kemalangan di Tongod

April 17, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira di Kampung Napagang Tongod, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Jasaria Bulinau, 43, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Seorang lagi mangsa lelaki yang identitinya belum diperoleh dilaporkan cedera dan dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 6.26 petang.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, seorang mangsa didapati tersepit dalam kereta namun telah berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tongod sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Mangsa yang tersepit itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan bantuan awal serta kawalan keselamatan di lokasi.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X