SANDAKAN: Hampir 11 jam bertarung dengan api, kebakaran besar yang memusnahkan penempatan atas air Kampung Bahagia di sini, akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, dianggarkan 1,000 rumah tidak kekal musnah sepenuhnya, sekali gus menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal.
Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit serta keadaan air laut surut yang menyukarkan sumber bekalan air.
“Struktur rumah yang rapat selain angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secata offensive dan defensive di bahagian kiri dan kanan kawasan kebakaran dengan menggunakan empat aliran sepanjang 1,000 kaki dengan 12 pancutan.
“Jentera FRT bantuan daripada BBP Kinabatangan turut menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan.
“kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 8.43 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari selepas kerja-kerja overhaul selesai.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya.
Operasi membabitkan anggota BBP Sandakan dan BBP Kinabatangan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela serta beberapa agensi lain termasuk PDRM, APM dan Sabah Electricity. – Info X