Search

SK Simpangan, Paitan dipindah ke lokasi bebas banjir – James Ratib

April 19, 2026

Info X Reporters

PAITAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, di sini, yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir awal tahun ini akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih selamat.

Pemindahan tapak sekolah itu disahkan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, selepas meninjau keadaan sekolah itu pada Sabtu.

Katanya, pemindahan ke tapak baharu itu penting bagi memastikan masalah banjir yang sekian lama menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu diatasi.

Beliau berkata, tapak baharu sekolah itu sudah dikenal pasti di kawasan Korporasi Pembangunan Desa (KPD) Kampung Simpangan.

Jelasnya, cadangan itu mengambil kira faktor keselamatan dan keperluan jangka panjang murid serta warga sekolah yang sering berdepan risiko banjir di lokasi sedia ada.

“Adalah wajar SK Simpangan yang sering dilanda banjir dipindahkan ke kawasan yang lebih tinggi berhampiran Kampung Simpangan iaitu di tapak KPD yang dicadangkan oleh JKKK, berbanding tapak asal sangat rendah dan berhampiran dengan sungai.

“Pada masa sama, saya juga mencadangkan agar tapak asal pembinaan SK Simpangan di pekan Paitan dijadikan sebagai SK Pekan Paitan,” katanya.

Keadaan bangunan SK Simpangan yang ranap akibat banjir.

James berkata, cadangan pemindahan akan melalui proses pewartaan tanah yang akan dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur sebelum dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk kelulusan selanjutnya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi memastikan sesi pembelajaran murid tidak terganggu, penempatan sementara akan disediakan di Dewan Terbuka SMK Simpangan dengan pembinaan ‘partition’ yang sesuai.

“Langkah ini penting bagi memastikan murid terus mendapat akses kepada pendidikan dalam suasana yang kondusif sementara menunggu pembinaan sekolah baharu diselesaikan,” katanya.

Dalam lawatan yang sama, beliau turut mengunjungi SMK Simpangan dan menerima taklimat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengenai perkembangan semasa pendidikan di kawasan itu. – Info X