Search

Mayat lelaki ditemui di Jalan Gaya, polis kesan waris

April 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan waris seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah premis di Jalan Jati berhampiran kawasan Jalan Gaya, di sini, semalam.

Menerusi kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini, pihaknya memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada jam 9.38 pagi melalui MERS 999 mengenai seorang lelaki tidak sedarkan diri di hadapan Wisma Inti Utama.

Menurut kenyataan itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi sebelum menemui lelaki berusia lingkungan 40-an terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.

“Si mati juga didapati mempunyai kecacatan pada jari tangan kanan,” menurut kenyataan itu.

Katanya, kematian disahkan pegawai perubatan sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali si mati diminta tampil membantu siasatan bagi tujuan pengecaman dan pengurusan lanjut.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X