LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dikhuatiri hilang selepas dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di Jalan Felda Sahabat 16, Desa Kencana, di sini, pagi tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Mohd Hamka Mustamin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.27 pagi melalui talian MERS999.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa sedang mandi-manda di kawasan tepi pantai sebelum tiba-tiba disambar reptilia berkenaan.
“Mangsa dilaporkan telah dibaham buaya dan diseret ke dalam laut. Identiti penuh mangsa masih belum diperoleh setakat ini.
“Sepasukan anggota dari BBP Lahad Datu telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, operasi SAR kini sedang dijalankan dengan bantuan pihak polis bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemui.
Katanya, pasukan bomba menghadapi cabaran berikutan jarak lokasi kejadian yang agak jauh, iaitu kira-kira 101 kilometer dari balai, selain keadaan persekitaran yang berisiko.
“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X