Search

Perjalanan ke sukan sekolah berakhir tragedi

April 20, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Perjalanan seorang pelajar Tingkatan Empat untuk menghadiri sukan sekolah berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Keningau – Apin Apin, berhadapan SMK Keningau 2, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Jumir Andoroh, 16, yang dalam perjalanan ke Kompleks Sukan Keningau dilaporkan terlanggar bahagian belakang sebuah Toyota Hilux.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dikejarkan ke Hospital Keningau dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 9.48 pagi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis WMOTO SM125i yang ditunggang mangsa dan sebuah Toyota Hilux dipandu wanita berusia 46 tahun.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Kompleks Sukan Keningau untuk menghadiri sukan sekolah sebelum terlanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X