KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kerja pembersihan bernilai kira-kira RM1.3 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2024.
“Suspek disyaki mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini untuk tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027.
“Selain itu, suspek turut dipercayai menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi sama bagi mendapatkan kontrak kerja di beberapa agensi kerajaan sekitar Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Info X