Search

SAR hari kedua: Seorang masih hilang di perairan Kota Belud

April 20, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua mangsa bot karam di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, hari ini diteruskan dengan pencarian diperluas sehingga radius lima kilometer, namun seorang mangsa masih belum ditemui.

Operasi yang bermula seawal jam 8.05 pagi itu memfokuskan kawasan sekitar lokasi bot karam dan muara Sungai Batu Gadung dengan pembahagian beberapa sektor pencarian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, operasi SAR membabitkan sembilan anggota dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam.

“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.25 petang dan akan disambung semula esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang semalam, bot yang dinaiki lapan lelaki untuk keluar memancing dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai kampung berkenaan.

Enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dipercayai lemas.

Seorang daripada mangsa, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, ditemui orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi bot karam pada jam 9.50 malam sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Belud.

Seorang lagi mangsa, Mohammad Iqram Jumaat, 23, masih belum ditemui setakat ini. – Info X