SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggempur sebuah stor penyimpanan minyak diesel di Kampung Batu 11, Jalan Seguntor, di sini, petang tadi, dan menahan dua lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan bahan bersubsidi.
Serbuan kira-kira jam 2.45 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti memindahkan minyak diesel bersubsidi daripada sebuah lori ke tangki skid.
“Dipercayai minyak itu dipindahkan untuk tujuan penyelewengan sebelum dijual di pasaran.
“Dalam operasi itu, dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak polis turut merampas sebuah lori 10 tan jenis Nissan bersama beberapa peralatan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan.
“Selain itu, kira-kira 2,100 liter minyak diesel turut dirampas dengan anggaran nilai RM12,537 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barangan bersubsidi demi menjaga kepentingan ekonomi negara,” katanya. – Info X