KOTA KINABALU: Dunia kewartawanan Sabah kehilangan seorang tokoh berpengaruh apabila bekas Ketua Bahagian Editorial New Straits Times (NST) Sabah dan Sarawak, Joseph Bingkasan, meninggal dunia dipercayai akibat kanser di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, pada jam 3.56 pagi tadi.
Pemergian wartawan veteran berusia 71 tahun itu disahkan anaknya, Lester J Bingkasan yang juga seorang wartawan, ketika dihubungi hari ini.
“Bapa saya meninggal dunia pagi tadi. Beliau menghidap kanser tulang dan prostat, selain menjalani rawatan hemodialisis. Kami sekeluarga memohon semua sahabat mendoakan ayah saya,” katanya ringkas.
Menurut Lester, keluarga kini sedang menguruskan jenazah dan maklumat lanjut termasuk mengenai upacara penghormatan terakhir akan dimaklumkan kemudian.
Mendiang Joseph disifatkan sebagai antara figura penting dalam dunia kewartawanan Sabah dengan pengalaman luas yang merentasi beberapa dekad.
Beliau memulakan kerjaya sebagai penyunting di akhbar Kinabalu Sabah Times pada 1977 sebelum menyertai New Straits Times Press (NSTP) sebagai koresponden di Sabah.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut berkhidmat di Times of Malaysia London Ltd, iaitu pejabat NST di London, sekali gus memperkukuh pengalaman antarabangsa dalam bidang kewartawanan.
Kepakaran dan kepimpinannya kemudian menyaksikan beliau dilantik sebagai Ketua Bahagian Editorial NST Sabah dan Sarawak.
Selain itu, mendiang juga pernah menyumbang khidmat kepada akhbar tempatan Sabah, Daily Express, sekali gus memperkukuh legasi sebagai wartawan yang banyak berjasa dalam pembangunan industri media negeri ini.
Pada 2023, mendiang menerima pengiktirafan menerusi Tabung Kasih Hawana sebagai menghargai sumbangan besarnya kepada dunia kewartawanan tanah air.
Sejak 2014, mendiang dilaporkan menghidap kanser, selain berdepan masalah kegagalan buah pinggang dan tekanan darah tinggi, namun tetap dikenang sebagai wartawan berdedikasi tinggi yang komited menyampaikan berita dengan integriti dan profesionalisme. – Info X