Search

Isu 40 peratus: Keputusan muktamad perlu dibuat – Masiung

April 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Satu keputusan perlu dibuat berhubung pemberian khas 40 peratus Sabah tanpa melengahkan waktu dalam siri perbincangan di meja bulat dan proses mahkamah.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Masiung Banah, menegaskan ketetapan muktamad perlu diambil bagi menamatkan spekulasi isu itu yang terus berlegar dalam perdebatan di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Ketetapan itu adalah usul utama hasil resolusi dalam Sesi Libat Urus eksekutif dianjurkan BBC dan Pejabat Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri di Kota Kinabalu, pada Isnin.

Sesi Libat Urus itu melibatkan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, Ahli Parlimen Sabah dan pegawai kanan kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Masiung menegaskan, usul itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) untuk merangka tindakan susulan sebagai resolusi terbaharu Sabah.

“Keputusan perlu dibuat bagi menamatkan perbincangan yang tertunggak tanpa mencapai kata sepakat berhubung isu tuntutan hasil Sabah 40 peratus di bawah MA63,” katanya.

Jelasnya, pasukan perunding Sabah optimis Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof boleh menyelesaikan isu itu dengan keputusan menang-menang.

Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO berkata, MTPMA63 yang dianggotai pemimpin dan pegawai kanan Negeri Sabah dan Persekutuan perlu menghormati resolusi berbangkit dalam Sesi Libat Urus eksekutif itu.

Turut dibangkitkan dalam sesi itu termasuklah isu penduduk asing bukan warganegara di Sabah dan kenaikan tarif elektrik.

Lima anggota panel dijemput bagi membentangkan tiga isu utama Sabah termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud; Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Ketua Menteri Sabah. – Info X