Search

Kastam Labuan sita tiga kontena minuman keras bernilai RM1.29 juta

April 21, 2026

Info X Reporters

LABUAN: Helah sebuah syarikat mengimport minuman keras melebihi kuota terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita tiga kontena dalam operasi di Pelabuhan Merdeka, di sini, 17 Mac lalu.

Rampasan membabitkan tiga kontena bersaiz 20 kaki itu dianggarkan bernilai RM343,400, manakala jumlah duti dan cukai mencecah RM948,168.61, menjadikan keseluruhan nilai lebih RM1.29 juta.

Pengarah Kastam Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, tindakan itu hasil risikan Bahagian Perkastaman sebelum Pasukan Operasi Penguatkuasaan menyerbu lokasi kira-kira jam 10 pagi.

“Siasatan awal mendapati minuman keras itu diimport oleh sebuah syarikat yang memiliki lesen sah bagi tempoh 20 Mac 2025 hingga 19 Mac 2026 dengan kuota import sebanyak 250,000 liter.

“Namun, siasatan lanjut mendapati syarikat berkenaan dipercayai mengimport melebihi kuota dibenarkan iaitu sebanyak 52,746.24 liter walaupun lesen masih berkuat kuasa,” katanya dalam sidang media khas di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kiamsam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengimportan minuman keras tertakluk kepada pemilikan lesen import mengikut kuota yang diluluskan serta setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam Malaysia selaras Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

Menurutnya, modus operandi digunakan adalah dengan mengimport minuman keras melalui tiga kontena dan membuat pengikraran menggunakan dua Borang Kastam No. 1.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 138 Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Info X