Search

Lelaki tular buat kekacauan ditahan, syabu dirampas

April 21, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Tindakan seorang lelaki yang sebelum ini tular di media sosial kerana didakwa menimbulkan kekacauan akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis bersama dadah, hari ini.

Dalam serbuan jam 1.39 petang itu, lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan di belakang bangunan UPLUS 4, Jalan Masjid Pekan Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, tangkapan dilakukan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Keningau hasil risikan dan pemantauan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat kira-kira 0.15 gram dengan anggaran nilai RM30.

“Suspek juga dipercayai individu yang sering tular di media sosial sebelum ini kerana dikaitkan dengan perlakuan yang menimbulkan keresahan masyarakat di sekitar daerah ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, pihak polis khususnya BSJN Keningau akan terus mempergiat operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras penyalahgunaan dadah.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X