KOTA BELUD: Mangsa kedua bot karam di Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, ditemui petang ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) masuk hari ketiga.
Mangsa, Mohammad Iqram Jumaat, 23, ditemui kira-kira jam 2.45 petang oleh pasukan SAR di perairan Bira-biraan, sekitar empat kilometer dari lokasi bot dilaporkan karam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Elgie Bakuk berkata, mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sebelum disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi hari ketiga bermula seawal jam 8 pagi sebelum pencarian dibahagikan kepada tiga sektor iaitu di pesisir kiri dan kanan serta kawasan laut menggunakan bot.
“Mangsa ditemui oleh pasukan sektor laut sebelum dibawa ke darat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang pada Ahad lalu, bot dinaiki lapan lelaki untuk keluar memancing dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai kampung berkenaan.
Enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dipercayai lemas.
Terdahulu, seorang lagi mangsa, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, ditemui orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud, namun disahkan meninggal dunia.
Operasi SAR yang bermula sejak hari kejadian membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta orang awam.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 petang hari ini. – Info X