Search

Berkhidmat demi masyarakat, meskipun dicemuh anggota bomba tetap berkorban

April 21, 2026

Info X Reporters

KEBAKARAN yang memusnahkan ribuan rumah di Kampung Bahagia, Sandakan, baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa, malah membuka satu lagi sisi yang sering berulang, anggota bomba dipersalahkan.

Di media sosial, pelbagai dakwaan timbul. Ada yang menuduh pasukan penyelamat lambat tiba, ada juga yang mempertikaikan kecekapan operasi.

Namun, di sebalik kecaman itu, jarang yang benar-benar memahami realiti sebenar di lapangan. Hakikatnya, anggota bomba bukan sekadar “datang padam api”.

Mereka berdepan risiko nyawa setiap kali melangkah ke lokasi kebakaran. Dalam kes Kampung Bahagia, struktur penempatan itu sendiri menjadi cabaran utama.

Rumah atas air yang padat, dibina rapat tanpa jarak keselamatan, ditambah laluan sempit yang menyukarkan jentera berat masuk, menjadikan api mudah merebak dalam tempoh singkat.

Apabila api mula marak, faktor angin dan bahan binaan mudah terbakar mempercepatkan kebakaran. Dalam keadaan itu, walaupun pasukan bomba tiba dalam tempoh munasabah, api sudah merebak luas, sesuatu yang sering disalah tafsir sebagai “lewat”.

Sedangkan, setiap minit pertama kebakaran adalah kritikal. Jika struktur kawasan tidak menyokong kawalan api, kebakaran boleh menjadi tidak terkawal dalam masa singkat, walaupun respons awal pantas diberikan.

Apa yang jarang disedari, anggota bomba sendiri terdedah kepada pelbagai risiko ketika operasi.

Mereka berdepan kemungkinan letupan, runtuhan struktur, haba melampau, selain asap tebal yang boleh menjejaskan pernafasan.

Di Sabah, sudah beberapa kali dilaporkan anggota bomba cedera ketika menjalankan operasi, sama ada akibat terjatuh, terkena serpihan atau mengalami keletihan melampau.

Risiko kematian juga bukan sesuatu yang asing dalam profesion ini, walaupun tidak kerap dilaporkan secara meluas. Namun, setiap kali tragedi berlaku, fokus sering beralih kepada mencari salah dan bomba menjadi sasaran mudah.

Perlu difahami, keberkesanan operasi memadam kebakaran bukan hanya bergantung kepada kepantasan respon, tetapi juga kepada faktor persekitaran.

Kawasan setinggan atau penempatan padat seperti Kampung Bahagia sememangnya berisiko tinggi kerana tiada pelan susun atur yang sistematik, kekurangan sumber air tetap, dan akses terhad.

Dalam situasi seperti ini, cabaran sebenar bermula sebaik sahaja pasukan tiba, bukan sekadar masa respon.

Tulisan ini bukan untuk menafikan perasaan mangsa yang kehilangan tempat tinggal, tetapi sebagai peringatan bahawa menyalahkan pasukan penyelamat bukanlah penyelesaian.

Sebaliknya, pendekatan lebih menyeluruh diperlukan, termasuk kesedaran keselamatan kebakaran, perancangan penempatan yang lebih teratur, serta kerjasama komuniti dalam mencegah risiko.

Anggota bomba menjalankan tugas dalam keadaan yang kebanyakan orang tidak sanggup hadapi. Mereka masuk ketika orang lain keluar menyelamatkan diri.

Justeru, sebelum jari menuding, mungkin wajar difikirkan, dalam keadaan sebenar di Kampung Bahagia, adakah sesiapa mampu melakukan lebih baik dalam tempoh yang sama?

Kerana di sebalik asap tebal dan api marak itu, ada insan yang mempertaruhkan nyawa, bukan untuk dipuji, tetapi untuk memastikan yang lain terus hidup. – Info X