Search

Pemandu disyaki punca kemalangan maut babitkan pelajar ditahan

April 22, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Polis menahan seorang lelaki disyaki pemandu kenderaan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan pelajar Tingkatan Empat di Jalan Keningau – Apin Apin, berhadapan SMK Keningau II, pada Isnin lalu.

Penahanan itu dibuat susulan penularan satu video berdurasi 28 saat di media sosial semalam yang memaparkan sebuah kenderaan berhenti di lorong laju sebelah kanan menghala ke pekan Keningau, dipercayai berkaitan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Keningau terhadap lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk meneliti rakaman video yang tular serta keterangan saksi di lokasi kejadian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian 20 April lalu kira-kira jam 6.40 pagi, kemalangan membabitkan sebuah Toyota Revo dan motosikal jenis WMOTO berlaku di hadapan SMK Keningau II.

Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bulatan hospital menuju ke pekan Keningau terlanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda yang tiba-tiba berhenti di lorong kanan.

Mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Keningau kira-kira jam 9.30 pagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X