KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kini menerima suntikan kekuatan baharu dengan kehadiran dua anjing pengesan K9 bagi memperkasakan operasi siasatan kebakaran di negeri ini.
Kedua-dua anjing K9 dikenali sebagai Charlie dan Derry itu yang dilatih dalam disiplin Fire Investigation (penyiasatan kebakaran) tiba kira-kira jam 4 petang, hari ini.
Kehadiran aset berkenaan dijangka membantu JBPM Sabah dalam mempercepatkan pengesanan punca kebakaran, selain turut digunakan bagi mengesan mangsa tertimbus, hilang atau meninggal dunia dalam operasi menyelamat.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya bersedia menggerakkan aset berkenaan dalam operasi siasatan di seluruh negeri.
Katanya, penggunaan anjing K9 dalam siasatan kebakaran sebelum ini terbukti berkesan dalam membantu mengenal pasti bahan mudah terbakar serta mempercepatkan proses siasatan di lokasi kejadian. – Info X