SEMPORNA: Taktik seorang wanita warga asing menyimpan minyak masak paket di premis tidak berlesen terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi di Kampung Batu, di sini, semalam.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, pihaknya menerima kes serahan daripada Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak sebelum tindakan lanjut diambil.
Katanya, hasil pemeriksaan di sebuah rumah tanpa nombor mendapati sebanyak 680 kilogram minyak masak paket bersamaan 40 kotak disimpan di lokasi yang tidak mendapat kelulusan Pengawal Bekalan.
“Kesemua barang kawalan itu disyaki disimpan bagi tujuan yang menyalahi undang-undang dan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM1,700.
“Seorang wanita warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.
Beliau turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak menyalahgunakan barang kawalan atau melanggar peraturan yang ditetapkan.
“Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya bagi individu.
“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan seterusnya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel atau aplikasi Ez ADU KPDN. – Info X