TAMPARULI: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, menegaskan cadangan supaya Sabah mengutamakan penyelesaian masalah prasarana kesihatan dan pendidikan berbanding menuntut pelaksanaan Hak 40 peratus adalah tidak wajar kerana kedua-dua bidang itu sememangnya menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, perkara berkaitan kesihatan dan pendidikan telah diperuntukkan dengan jelas di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai bidang dalam Senarai Persekutuan, termasuk isu sekolah daif, klinik, hospital serta pembangunan institusi pendidikan awam di Sabah.
Menurutnya, hasil 40 peratus yang dituntut pelaksanaannya oleh Sabah seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh bidang di bawah tanggungjawab kerajaan negeri seperti pemberian biasiswa, bekalan air, pelabuhan, pertanian, perkhidmatan veterinar, tenaga elektrik, jalan raya di bawah Jabatan Kerja Raya negeri dan majlis daerah, jalan pertanian, pentadbiran tanah serta pembangunan luar bandar.
“Selain itu, ia turut melibatkan urus tadbir Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Mahkamah Anak Negeri serta pengurusan alam sekitar dan sumber asli negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Madius berkata, kekurangan dana sejak sekian lama menyebabkan Sabah terpaksa meminjam daripada Kerajaan Persekutuan dengan kadar empat peratus bagi melaksanakan pelbagai projek asas negeri, termasuk pembinaan loji rawatan air, naik taraf pelabuhan, sistem tenaga elektrik serta pembangunan prasarana di kawasan perindustrian seperti KKIP, POIC dan SOGIP.
Katanya, dalam sektor elektrik sahaja, Sabah menanggung pinjaman hampir RM3 bilion dengan Kerajaan Persekutuan, selain lebih RM2 bilion bagi menaik taraf Pelabuhan Sepanggar serta kos pembinaan loji rawatan air dan pelaksanaan sistem penyukatan tanah PANTAS yang turut memerlukan pembiayaan tambahan.
Beliau turut menjelaskan isu penyukatan tanah yang masih tertangguh di banyak kawasan berpunca daripada kekangan kewangan, termasuk keperluan menambah tenaga kerja, sehingga kerajaan negeri terpaksa mendapatkan bantuan Persekutuan melalui program berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, cadangan menggunakan hasil 40 peratus bagi menampung tanggungjawab Persekutuan hanya akan mengelirukan rakyat mengenai tujuan sebenar tuntutan berkenaan.
“Hak 40 peratus ini penting bagi memastikan Sabah mempunyai keupayaan kewangan lebih kukuh untuk membangunkan bidang di bawah kuasa negeri yang sekian lama tertangguh akibat kekurangan dana,” katanya.
Dalam pada itu, Madius mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak melupakan beberapa keputusan lampau yang memberi kesan besar kepada negeri, termasuk penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan tanpa pampasan, yang menurutnya merugikan Sabah dan rakyat Labuan.
Beliau berkata, kira-kira 300,000 ekar tanah di Lahad Datu dan Tawau turut diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan semasa pentadbiran terdahulu, sekali gus memberi kesan terhadap pemilikan aset strategik negeri.
Tegasnya, rakyat Sabah perlu memahami kedudukan sebenar isu berkenaan supaya masa depan negeri dapat dipertahankan berasaskan fakta tepat dan bukan kenyataan yang mengelirukan.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar tidak terkeliru dengan cadangan tersebut, sebaliknya bersama kerajaan negeri menuntut pelaksanaan Hak 40 peratus Sabah seperti yang diputuskan mahkamah. – Info X