Search

Pekebun maut, kereta bertembung lori

April 22, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang pekebun maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Jalan Keningau – Tenom berhampiran Kampung Kitung, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa, Jinus Anang, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Nissan dan sebuah Perodua Kenari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 37 tahun bersama seorang kelindan bergerak dari arah Tenom menuju ke Keningau.

“Setiba di lokasi, sebuah Perodua Kenari dari arah bertentangan dipercayai masuk ke laluan lori sebelum berlaku pelanggaran depan dengan depan.

“Akibat kejadian itu, pemandu Kenari disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan dan mengadu sakit dada, manakala kelindannya tidak cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat yang dijadualkan esok.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X