Search

Tiga remaja ditahan kes rogol pelajar di Tawau

April 23, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan tiga remaja lelaki yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan di Merotai, di sini, dalam tempoh kurang 24 jam selepas menerima laporan kejadian itu, semalam.

Semua suspek berusia antara 15 hingga 16 tahun ditahan kira-kira jam 6.50 petang oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai di perkarangan Pondok Polis Merotai.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan dibuat susulan laporan yang diterima daripada ibu mangsa pada jam 4.43 petang hari sama.

Katanya, kes berkenaan terbongkar selepas mangsa, pelajar tingkatan tiga, memaklumkan kejadian itu kepada guru kaunseling sebelum perkara berkenaan dimaklumkan kepada ibunya.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Ahad lalu apabila mangsa dibawa seorang suspek, yang juga pelajar tingkatan lima, menaiki kereta ke sebuah rumah sebelum dirogol.

“Mangsa turut mendakwa sering dimalukan serta diejek dengan kata-kata tidak senonoh oleh rakan-rakan suspek di sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua lagi suspek kemudian ditahan kerana dipercayai bersubahat dalam kejadian itu.

“Semua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jasmin menegaskan, polis memandang serius jenayah seksual dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit, termasuk mereka yang bersubahat.

“Polis akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak, selain peka terhadap perubahan tingkah laku mereka.

Katanya, kerjasama antara ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat amat penting dalam membendung gejala sosial dalam kalangan remaja. – Info X