Search

Jual air tebu siang, ‘layan’ syabu malam

April 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang penjual air tebu ditahan polis selepas disahkan positif syabu dalam operasi khas di Taman Telipok Ria Fasa 3, Tuaran awal pagi tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, lelaki berusia 34 tahun terbabit ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di tepi bangunan kawasan berkenaan.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang bahan terlarang, namun polis mengambil tindakan lanjut apabila gerak-geri suspek menimbulkan syak.

“Suspek kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran untuk ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah di sekitar kawasan Telipok Ria.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihak polis akan mempergiat risikan dan pemantauan di lokasi terbabit bagi mengesan pembekal yang dipercayai masih aktif di kawasan berkenaan. – Info X