Search

Suami maut, isteri parah, sepupu cedera pikap terbalik

April 26, 2026

Info X Reporters

TENOM: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah dan sepupunya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Kilometer 7, Jalan Tenom – Enubai berhampiran Kampung Sri Meranti, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa Victor Chung Yin Tat, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan akibat kecederaan dialami.

Isterinya berusia 37 tahun dilaporkan parah termasuk patah rusuk kiri, manakala sepupunya berusia 28 tahun cedera di bahagian kepala sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Tenom untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan jenis Toyota Hilux itu dalam perjalanan dari arah Kampung Bunsilon menuju ke Pekan Tenom.

Menurutnya, ketika kejadian, keadaan jalan lurus namun permukaan basah selain cuaca hujan dan pencahayaan gelap.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan lalu terbalik.

Keadaan kenderaan dipandu mangsa yang terbalik dalam kejadian di Kilometer 7, Jalan Tenom – Enubai, berhampiran Kampung Sri Meranti, Tenom.

“Akibat kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya dan sepupu mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tenom sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Info X