Search

Seludup arak gagal, 7 PATI ditahan di Semporna

April 25, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan menyeludup minuman keras tidak bercukai gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan Pulau Bohayen, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, sepasukan anggota PPM yang menjalankan operasi risikan berjaya memintas bot berkenaan di perairan Pulau Bohayen.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut menemukan enam kotak berisi 144 botol minuman keras jenis Tanduay Rhum Dark.

“Semua minuman keras itu dipercayai baru dibawa masuk dari negara jiran dengan nilai rampasan dianggarkan RM51,320.

“Juragan bot bersama seorang lagi individu turut ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi berasingan pada hari sama, katanya PPM Semporna bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Semporna menahan sebuah lagi bot di perairan Pulau Boheyan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tujuh individu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua mereka mengaku berasal dari negara jiran dan dipercayai cuba memasuki Malaysia secara haram.

“Semua individu terbabit termasuk juragan bot ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Ahmad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta kemasukan PATI di perairan negeri ini. – Info X