TAWAU: Program Rendezvous (RV) antara Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dan Polairud Polda Kalimantan Utara memperkukuh kerjasama keselamatan di perairan sempadan Malaysia – Indonesia, khususnya di sekitar perairan Tawau dan Sungai Nyamuk, pada 22 April lalu.
Program itu menyaksikan Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis (ACP) Ahmad Amri Abd Rahman mengetuai delegasi bersama pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.
Delegasi Polairud Polda Kalimantan Utara pula diketuai Direktur Polairud, Komisaris Besar Polisi (KBP) Tidar Wulung Dahono bersama lima pegawai.

Pertemuan dua hala itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik serta meneruskan kesinambungan kerjasama yang dipersetujui dalam program sama sebelum ini.
Antara fokus utama adalah memperkasa operasi bersama dan perkongsian maklumat risikan antara kedua-dua agensi, selain memastikan setiap perancangan dapat dipertingkat ke tahap lebih tinggi untuk tindakan susulan.
Kedua-dua pihak turut sepakat untuk meneruskan perbincangan secara berkala sama ada bersemuka atau melalui komunikasi maya bagi memastikan kerjasama terus relevan dan berkesan.

Program itu juga dilihat penting dalam menangani jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan kontraban, dadah serta barangan kawalan yang sering menjadi ancaman di perairan kedua-dua negara.
Selain itu, kehadiran pegawai Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Tawau turut memperkukuh jaringan perkongsian risikan keselamatan antara Malaysia dan Indonesia.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam memperkasa kerjasama antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. – Info X