PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Penampang berhampiran SMK Bahang, awal pagi tadi.
Dalam operasi itu, lelaki berkenaan ditahan selepas didapati memandu melebihi had kandungan alkohol yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, suspek ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda antara RM10,000 hingga RM30,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam operasi sama, pihak polis turut mengeluarkan tiga saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Seramai 53 individu dan 48 kenderaan diperiksa sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, operasi itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad bersama enam anggota.
Katanya, Op Mabuk dijalankan secara berterusan bagi memantau tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang serta memastikan keselamatan semua pihak di jalan raya. – Info X