KOTA KINABALU: Penduduk khususnya di sekitar daerah ini yang tinggal berhampiran kawasan hutan, belukar dan padang lalang diminta meningkatkan kesiapsiagaan susulan cuaca panas dan kering yang meningkatkan risiko kebakaran terbuka.
Ketua Zon Kota Kinabalu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, PgKB I Johari Dzulkifli berkata, keadaan cuaca panas serta berangin ketika ini boleh menyebabkan api merebak dengan cepat, terutama di kawasan dipenuhi rumput kering dan bahan mudah terbakar.

“Api kecil boleh bertukar menjadi kebakaran besar dalam masa singkat jika tidak dikawal, lebih-lebih lagi di kawasan berhampiran kediaman.
“Sebagai langkah pencegahan, penduduk digesa membersihkan kawasan sekitar rumah daripada lalang, rumput panjang dan dahan kering yang boleh menjadi punca api merebak ke struktur bangunan,” katanya ketika ditemui pada Program Bersama Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, hari ini.
Kira-kira 200 pengunjung hadir pada program berkenaan terdiri daripada Skuad Bomba, Bomba Komuniti, Pasukan Bomba Sukarela serta orang awam.

Menurutnya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka termasuk membakar sampah atau sisa kebun tanpa kawalan.
“Pastikan juga peralatan elektrik dimatikan apabila tidak digunakan bagi mengelakkan litar pintas, terutama ketika suhu persekitaran tinggi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan penduduk menyediakan sumber air tambahan atau alat pemadam api sebagai persediaan awal menghadapi sebarang kecemasan.
Johari turut menegaskan, orang ramai perlu segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya mengesan asap atau kebakaran kecil di kawasan berhampiran.

“Laporan awal sangat penting bagi membolehkan tindakan pantas diambil sebelum api merebak ke kawasan kediaman,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak agar tidak bermain dengan mancis atau pemetik api di kawasan kering yang mudah terbakar. – Info X