PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.
Pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, cadangan pelantikan itu dipersembahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong semalam.
Menurutnya, kerajaan yakin Abdul Halim yang mempunyai pengalaman luas serta integriti tinggi mampu memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah.
“Pelantikan ini juga diyakini dapat memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya.
Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tamat kontrak pada 12 Mei ini.
Abdul Halim dijangka menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan usaha memerangi rasuah terus diperkasa dan dilaksanakan secara berkesan.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. – Info X