Search

Pasangan Sabah terkandas di Vietnam, isteri koma diserang sawan

April 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Percutian pasangan dari Sabah ke Ho Chi Minh, Vietnam bertukar tragedi apabila si isteri diserang sawan sebelum kini masih koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negara itu.

Mohd Jamri Herry, 40, dari Kota Kinabalu berkata, isterinya, Rohana Joseph, 34, dimasukkan ke Hospital Nhan Dan Gia Dinh selepas mengalami sawan kira-kira jam 4 pagi, Selasa lalu, iaitu pada hari mereka sepatutnya pulang ke tanah air.

Beliau berkata, keadaan isterinya ketika ini masih belum sedarkan diri, namun dilaporkan stabil di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan.

“Sepanjang percutian bermula 16 hingga 21 April lalu, isteri tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau mengadu masalah kesihatan.

“Namun pada hari kami dijadual pulang ke Malaysia, dia tiba-tiba diserang sawan sebelum Subuh dan terus dikejarkan ke hospital. Kami sepatutnya bergerak ke lapangan terbang jam 8 pagi untuk penerbangan jam 1 tengah hari, tetapi tidak kesampaian,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mohd Jamri yang bekerja di Majlis Sukan Negeri Sabah berkata, beliau kini masih berada di Vietnam bagi menguruskan keadaan isterinya, namun hanya dibenarkan melawat sekali sehari mengikut waktu ditetapkan pihak hospital.

Katanya, dua anak mereka berusia empat dan tujuh tahun kini berada di bawah jagaan ahli keluarga di Sabah.

“Waktu melawat sangat terhad, hanya sejam pada sebelah petang. Saya tidak dapat berada di sisi isteri sepanjang masa, tetapi saya cuba kuatkan diri menghadapi ujian ini.

“Lebih merisaukan ialah kos rawatan kerana saya belum dimaklumkan jumlah sebenar bil hospital, namun ia dijangka meningkat memandangkan tempoh rawatan yang berlanjutan dan status kami sebagai warga asing,” katanya.

Menurutnya, pihak hospital tidak menghalang sekiranya isterinya mahu dibawa pulang ke Malaysia, namun segala risiko perlu ditanggung sendiri sebagai waris terdekat.

“Saya berhasrat membawa isteri pulang untuk meneruskan rawatan di tanah air walaupun sedar risikonya. Apa yang penting, dia dapat dirawat dekat dengan keluarga,” katanya.

itu, beliau turut memohon doa serta bantuan orang ramai bagi meringankan beban kewangan yang dihadapinya ketika ini.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7079522163 atas nama Mohd Jamri Herry. – Info X