Search

ENAM MOTOSIKAL TIGA RODA MUSNAH KEBAKARAN DI TAMBUNAN

July 8, 2022

admin

TAMBUNAN: Sebanyak enam motosikal tiga roda musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah garaj di Tambunan Golf and Country Club, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, semua motosikal berkenaan musnah sepenuhnya selepas api dilaporkan merebak terlalu pantas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.15 petang.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan garaj berkeluasan 55 meter persegi yang menempatkan motosikal tiga roda.

“Kebakaran berjaya dipadam oleh pekerja sebelum jentera tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.53 tengah hari tadi,” katanya. – Info X