TUARAN: Sebanyak 158 ekor lembu
korban diberika kepada 51 wakil masjid dan surau di sekitar daerah Tuaran sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Ahad ini.
Semua lembu berkenaan disampaikan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Hari Raya Aidiladha bertempat di pekarangan Masjid Haji Noor, Kampung Serusup, di sini, hari ini.
Hajiji turut menyerahkan lembu korban
kepada wakil pasukan keselamatan di negeri ini iaitu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan; Kem Lok Kawi;
Akademi Bomba dan Penyelamat Tuaran; Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),
Sepanggar; Ibu Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah dan Balai Polis Tuaran.
“Selepas diagihkan kepada agensi keselamatan, lebihan lembu berkenaan akan diagihkan kepada masjid dan surau di daerah Tuaran termasuklah di kawasan saya sendiri iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.
“Ibadah korban ini mempunyai sejarah dan signifikan kepada penganut agama Islam untuk kita berkorban dan membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pegawai Daerah Tuaran, Syahrin Samsir.
Dalam pada itu, Hajiji mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di negeri ini khususnya di Tuaran dan DUN Sulaman.
“Saya berharap sambutan Aidladha ini kita rayakan secara sederhana tapi yang penting kita dapat menghayati nilai-nilai hari raya korban yang dtuntut oleh kita sebagai umat Islam,” katanya. – Info X