Search

Jesselton Choir Festival 2026 perkasa seni koir, Rolou Nulinau juara keseluruhan

April 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penganjuran Jesselton Choir Festival (JCF) 2026 edisi ketiga terus memperkukuh kedudukan seni koir sebagai medium penting memartabatkan warisan budaya Sabah, selain mencungkil bakat baharu dalam kalangan penggiat seni tempatan.

Festival yang berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 April lalu di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKNS) Sabah itu menghimpunkan 18 pasukan koir dari seluruh negeri, masing-masing dianggotai antara 20 hingga 50 peserta.

Program anjuran bersama Kelab Koir The Male-Efficient dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah itu turut mendapat sambutan menggalakkan susulan kejayaan penganjuran edisi sebelumnya pada 2024.

Menariknya, setiap pasukan diwajibkan mempersembahkan sekurang-kurangnya satu lagu karya anak jati Sabah sebagai usaha mengangkat serta melestarikan muzik tempatan.

Dalam pertandingan itu, kumpulan Rolou Nulinau muncul juara keseluruhan sekali gus merangkul gelaran ‘Grand Winner’ festival berkenaan.

Kumpulan sama turut mencatat kejayaan dalam kategori remaja, manakala The Valley Voices menjuarai kategori kanak-kanak, diikuti Semanja Chorale bagi kategori terbuka.

Bagi kategori ‘Equal Voices’, UMS Bayu Men’s Ensemble dinobatkan sebagai pemenang, manakala kategori ‘Vocal Ensemble’ dimenangi Rolou Nulinau Ensemble.

Sementara itu, Gui Foo Chen dari The Valley Voices dipilih sebagai Konduktor Terbaik, manakala V.O Joe Choir menerima Anugerah Paling Berpotensi dan Anavau Voce meraih Anugerah Khas The Male Efficient.

Festival berkonsepkan gabungan bengkel dan pertandingan itu turut menampilkan penyertaan penceramah serta juri dari dalam dan luar negara bagi memperkayakan pengalaman peserta.

Antara juri yang terlibat termasuk tokoh muzik tempatan berpengalaman seperti Andrew Poninting @ Apai, Avelyn Chua Poh Zhen, Rhowell Rolland Pagi, Peter Anderson Nianti dan Dunstan Oswald Roland.

Selain pertandingan, festival itu turut menyediakan ruang pembelajaran menerusi bengkel bagi meningkatkan kemahiran vokal, teknik persembahan serta pemahaman terhadap seni koir.

Penganjuran JCF 2026 juga bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama dan persahabatan dalam kalangan penggiat seni koir di seluruh Sabah, sekali gus memperkukuh ekosistem seni budaya negeri.

Secara keseluruhan, festival berkenaan dilihat berjaya mencapai matlamatnya dalam mengangkat martabat seni koir, di samping menyemarakkan kecintaan terhadap lagu-lagu budaya Sabah dalam kalangan masyarakat. – Info X