Search

Tergamak kau dera anak baru berusia setahun lebih

April 27, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan di sebuah rumah di Taman Semarak, di sini, semalam.

Kes itu terbongkar selepas ibu mangsa mendakwa melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan suspek melakukan perbuatan tidak wajar terhadap anaknya ketika berada di bawah jagaan wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa selepas rakaman itu diperoleh.

“Rakaman CCTV berkenaan menunjukkan beberapa perlakuan yang dipercayai berlaku terhadap mangsa ketika dijaga suspek.

“Kejadian dipercayai berlaku Khamis lalu ketika mangsa ditinggalkan di bawah jagaan suspek yang diupah sebagai penjaga anak sejak kira-kira setahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek yang dianggap sebagai individu dipercayai keluarga itu menerima bayaran bulanan sekitar RM450 untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.

Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau bersama Balai Polis Bombalai menjalankan operasi mengesan suspek.

“Hasil tindakan pantas, suspek wanita tempatan berusia 57 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 3.45 petang di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan sebarang kes penganiayaan kepada pihak berkuasa.

“Orang ramai yang mengesyaki sebarang kes penganiayaan boleh menghubungi talian 089-772121, menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya. – Info X