TAWAU: Seorang wanita dicekik dan diugut seorang lelaki ketika sedang menunggu rakannya dalam kejadian di Kampung Sungai Imam, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun didatangi suspek dari arah belakang sebelum lelaki terbabit mencekik lehernya dan mengacukan objek tajam ke arah dagu.
Mangsa turut diugut dengan kata-kata “kalau mahu selamat, ikut aku” namun bertindak melawan untuk mempertahankan diri.
Akibatnya, mangsa dipukul dan ditendang oleh suspek sehingga mengalami kecederaan serta kesakitan pada bahagian muka dan badan sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai menjalankan operasi mengesan suspek.
“Suspek seorang lelaki warga asing berusia sekitar 20 tahun berjaya ditahan di perkarangan Balai Polis Bombalai.
“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Saya menasihatkan orang ramai khususnya wanita supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta mengelakkan berada bersendirian di kawasan sunyi,” katanya. – Info X