Search

ADUN Sabah diseru bersatu tuntut hak 40 peratus demi masa depan negeri

April 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Wilfred Madius Tangau menyeru semua wakil rakyat di Sabah, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, supaya bersatu hati dalam memperjuangkan hak 40 peratus hasil negeri demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat.

Beliau berkata, tuntutan berkenaan tidak wajar dilihat sebagai isu politik semata-mata, sebaliknya sebagai agenda bersama yang menyentuh soal maruah, pembangunan dan kesejahteraan Sabah secara menyeluruh.

“Segala isu yang dibangkitkan termasuk pelaburan, logistik dan keterjaminan makanan, semuanya berpunca daripada satu perkara utama iaitu kedudukan kewangan negeri.

“Persoalannya, sampai bila Sabah perlu terus bergantung kepada pihak lain untuk membangunkan negeri sendiri,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, hari ini.

Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang, namun kekangan kewangan serta kebergantungan berterusan kepada kerajaan Persekutuan menyebabkan banyak projek penting tidak dapat dilaksanakan mengikut keperluan rakyat.

Beliau turut memberi contoh pembangunan di Lahad Datu yang masih berdepan pelbagai kekangan asas termasuk bekalan air terawat, kecekapan logistik serta kelewatan projek akibat proses pembiayaan yang panjang.

Katanya, kelewatan kelulusan pembiayaan bagi menaik taraf kemudahan barge di kawasan berkenaan menyebabkan kos meningkat hampir dua kali ganda daripada RM8 juta kepada RM16 juta.

“Keadaan ini menunjukkan bagaimana birokrasi dan kebergantungan kepada pinjaman kerajaan pusat boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta memperlahankan pembangunan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu keterjaminan makanan apabila Sabah ketika ini hanya mampu menghasilkan kira-kira 20 peratus daripada keperluan beras sendiri.

Justeru, katanya, Sabah memerlukan sumber kewangan yang lebih kukuh bagi membolehkan pelaksanaan dasar pertanian dan makanan dilakukan secara lebih berkesan dan mampan.

“Jika hak 40 peratus ini dikembalikan seperti yang diperintahkan mahkamah, di situlah letaknya maruah dan kekuatan kewangan Sabah.

“Dengan hak itu, Sabah mampu membina, memimpin dan berdiri sendiri tanpa perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada pihak lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu perubahan dan kini mahukan tindakan nyata daripada semua pemimpin tanpa mengira fahaman politik.

Katanya, semua wakil rakyat perlu mengenepikan perbezaan politik dan tampil sebagai satu pasukan dalam menuntut hak negeri demi memastikan Sabah terus maju, makmur dan sejahtera. – Info X