Search

Empat lelaki disyaki curi kabel terbabit kemalangan ketika dikejar polis

April 28, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Cubaan empat lelaki disyaki mencuri kabel untuk meloloskan diri gagal apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan ketika dikejar polis berhampiran Kampung Berungis, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, Toyota Hilux Vigo dinaiki suspek dipercayai cuba melarikan diri sebelum hilang kawalan lalu merempuh sebuah Isuzu Invader.

Perlanggaran itu mengakibatkan lima mangsa cedera, termasuk empat suspek dalam Hilux Vigo serta seorang lelaki berusia 61 tahun yang memandu Isuzu Invader.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan lapan anggota dikerahkan ke lokasi.

Pemandu Isuzu Invader yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba selepas kenderaannya dirempuh pikap dinaiki suspek curi kabel yang melarikan diri daripada polis di Tuaran.

“Setibanya di lokasi, terdapat mangsa tersepit di dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan khas.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan dan dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.34 pagi selepas memastikan kawasan selamat.

Kes kini dalam siasatan polis. – Info X