TAWAU: Tiga remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah seksual melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dua daripada suspek berusia 14 dan 17 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 11.50 pagi di Kampung Jawa, di sini, semalam.
Katanya, seorang lagi suspek berusia 17 tahun ditahan dalam tangkapan susulan kira-kira jam 1.45 petang hari sama di perkarangan IPD Tawau.
“Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima berhubung dakwaan perbuatan jenayah seksual terhadap mangsa di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah ini sejak November tahun lalu hingga Februari tahun ini.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian dengan suspek berbeza termasuk di kawasan rumah dan premis awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi individu turut disiasat berhubung satu kejadian berasingan di sebuah sekolah, apabila mangsa dipercayai dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Polis sedang menjalankan soal siasat dan mendapatkan keterangan lanjut bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko jenayah seksual.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X