KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook membangkitkan beberapa isu kritikal termasuk kelemahan infrastruktur asas, pendidikan dan kos sara hidup ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Dalam perbahasannya, beliau menegaskan bahawa usaha kerajaan meningkatkan kapasiti pengeluaran air tidak akan memberi impak menyeluruh sekiranya masalah utama dalam sistem agihan tidak ditangani.
Menurutnya, banyak paip bawah tanah khususnya di kawasan Likas sudah uzur dan berusia lebih 30 tahun, sekali gus menjadi punca kebocoran berulang, tekanan air rendah serta gangguan bekalan berpanjangan di beberapa kawasan.
“Masalah kita bukan sekadar kapasiti pengeluaran, tetapi kegagalan sistem pengagihan yang semakin tenat. Jika paip uzur terus dibiarkan, sebanyak mana pun air terawat dihasilkan, ia tetap akan hilang di tengah jalan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melaksanakan program berskala besar bagi menggantikan paip lama secara berfasa, terutama di kawasan berisiko tinggi dan berkepadatan penduduk.
Selain isu bekalan air, Tham turut membangkitkan masalah sistem perparitan yang tidak disenggara dengan baik sehingga menyebabkan banjir kilat berulang di kawasan perumahan dan sekolah sekitar Likas.
Dalam pada itu, beliau menyentuh isu pendidikan dengan menegaskan bahawa pembangunan modal insan tidak akan berjaya sekiranya kemudahan asas sekolah masih tidak mencukupi.
Katanya, masih terdapat sekolah di Sabah yang berdepan kekurangan kemudahan asas dan keadaan pembelajaran yang tidak selesa, sekali gus menjejaskan kualiti pendidikan.
Beliau turut mendedahkan terdapat murid di beberapa kawasan luar bandar yang terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan akibat kerosakan bangunan sekolah susulan bencana banjir.
“Bagaimana kita mahu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi jika masih ada murid belajar dalam keadaan tidak bermaruah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menggesa kerajaan negeri memainkan peranan lebih proaktif dalam menangani isu sekolah daif serta mempercepatkan penyelesaian bersama pihak Kerajaan Persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tham turut menekankan keperluan penyelarasan penawaran biasiswa dengan keperluan tenaga kerja masa depan negeri, termasuk dalam bidang strategik seperti teknologi, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi baharu.
Beliau berkata, tanpa perancangan yang selari, biasiswa berisiko menjadi sekadar bantuan tahunan dan bukan pelaburan strategik untuk pembangunan negeri.
Pada masa sama, beliau membangkitkan isu kelewatan pembayaran biasiswa yang didakwa memberi tekanan kepada pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, dan menggesa penambahbaikan segera dalam sistem penyaluran.
Menyentuh kos sara hidup, Tham berkata kerajaan perlu memperincikan langkah intervensi yang lebih konkrit bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi susulan ketegangan geopolitik global.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri akan memperkenalkan pakej bantuan tambahan bagi meringankan beban rakyat seperti yang dilaksanakan di negeri lain.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik perkembangan berkaitan pemberian kuasa kepada Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun menegaskan isu tuntutan 40 peratus hasil negeri perlu terus diberi keutamaan.
Katanya, peningkatan hasil negeri akan membolehkan pelbagai isu asas seperti bekalan air, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur ditangani dengan lebih berkesan.
“Tuntutan ini perlu dilihat sebagai isu hak negeri dan bukan isu politik, serta memerlukan sokongan semua pihak secara bersama,” katanya. – Info X