Search

Kerajaan laksana projek RM200 juta tangani paip uzur di Likas — Limus

April 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melaksanakan beberapa projek berskala besar termasuk peruntukan sehingga RM200 juta bagi menangani masalah paip uzur yang menjadi punca gangguan bekalan air di kawasan Likas.

Timbalan Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Limus Jury berkata, isu kebocoran paip yang kerap berlaku di kawasan itu berpunca daripada penggunaan paip jenis asbestos cement (AC) yang sudah usang serta tekanan tinggi dalam sistem agihan air.

Menurutnya, bekalan air di Likas disalurkan dari Loji Rawatan Air Kasigui dan Moyog, namun sistem pengepaman terus meningkatkan tekanan ke atas paip lama, sekali gus menyebabkan risiko kerosakan lebih tinggi.

“Antara kawasan yang kerap terjejas akibat gangguan ini termasuk Jalan Keramat dan Jalan Tuaran Bypass,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Likas, Tham Yun Fook (Warisan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah berkenaan, Jabatan Air Sabah telah merancang dan melaksanakan beberapa langkah komprehensif bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air.

Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan kontrak penyelenggaraan paip di Kota Kinabalu selama tiga tahun bagi membolehkan kerja pembaikan segera dilaksanakan terhadap paip bocor atau rosak.

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan program menaik taraf dan menggantikan paip jenis asbestos cement di daerah Kota Kinabalu yang kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal melebihi tujuh peratus.

“Projek bernilai kira-kira RM28 juta ini dijadualkan siap pada Februari 2027 dan melibatkan penggantian paip lama termasuk di kawasan Likas,” katanya.

Dalam masa sama, Limus berkata, satu lagi projek berskala besar melibatkan kerja penggantian paip usang serta penaiktarafan paip transmisi dan agihan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan turut diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Katanya, projek berkenaan yang dianggarkan bernilai RM200 juta itu akan dilaksanakan melalui peruntukan pinjaman Persekutuan dan dijangka bermula pada suku keempat tahun 2027.

Beliau berkata, pelaksanaan semua inisiatif itu dijangka dapat meningkatkan kebolehpercayaan sistem agihan bekalan air serta mengurangkan kekerapan gangguan bekalan dalam jangka sederhana dan panjang.

“Kerajaan komited memastikan masalah bekalan air, khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti Likas, dapat ditangani secara berperingkat dan berkesan,” katanya. – Info X