Search

Kejayaan dasar diukur melalui manfaat kepada rakyat akar umbi — ADUN Paginatan

April 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kejayaan sesuatu dasar kerajaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan perancangan atau pengumuman semata-mata, sebaliknya perlu diukur melalui sejauh mana manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman berkata, pendekatan itu penting khususnya bagi memastikan pembangunan negeri bersifat inklusif dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

“Saya menyokong aspirasi kerajaan, namun bagi rakyat di pedalaman, kejayaan sesuatu dasar bukan terletak pada slogan atau dokumentasi, tetapi pada hasil yang boleh dirasai dalam kehidupan harian mereka,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Menurutnya, ukuran sebenar kejayaan dasar adalah apabila rakyat menikmati kemudahan asas seperti jalan yang boleh dilalui, bekalan air bersih, elektrik yang stabil serta peluang pendidikan dan ekonomi yang lebih baik.

Beliau berkata, masih terdapat kawasan luar bandar seperti di Paginatan yang berdepan kekangan infrastruktur asas, sekali gus menjejaskan keupayaan rakyat untuk keluar daripada kemiskinan.

Katanya, keterasingan fizikal akibat jalan tidak sempurna dan kemudahan yang terhad turut memberi kesan langsung kepada akses pendidikan, kesihatan serta pemasaran hasil pertanian.

Dalam pada itu, Rusdin menegaskan pembangunan luar bandar perlu terus menjadi agenda utama kerana hampir separuh penduduk Sabah masih tinggal di kawasan berkenaan.

“Pembangunan tidak boleh berhenti di jalan utama sahaja, tetapi mesti sampai ke lorong-lorong kampung agar tiada rakyat yang tercicir,” katanya.

Beliau turut menyentuh keperluan memperkukuh ekonomi luar bandar melalui pembangunan sektor pertanian dan peningkatan rantaian nilai agar penduduk tidak hanya bergantung kepada ekonomi sara diri.

Selain itu, beliau berkata aspek pendidikan juga perlu diberi perhatian serius termasuk memastikan bekalan elektrik dan capaian internet mencukupi bagi menyokong pembelajaran generasi muda.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tuntutan hasil 40 peratus negeri juga berkait rapat dengan keupayaan kerajaan melaksanakan pembangunan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

“Apabila negeri mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, barulah isu asas seperti jalan, air dan kemudahan awam dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar memastikan setiap dasar yang dirangka benar-benar memberi impak kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman, selaras dengan matlamat pembangunan seimbang di Sabah. – Info X