SANDAKAN: Aktiviti kecurian dan penyalahgunaan bekalan elektrik di dua penempatan setinggan di daerah ini terbongkar selepas diserbu dalam Operasi Bersepadu yang diketuai Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), minggu lalu.
Operasi selama dua hari pada 22 dan 23 April itu disertai lebih 50 pegawai daripada pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) serta Sabah Electricity.
Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir Ts Ridwan Saham, berkata hasil operasi berkenaan membawa kepada pembukaan enam kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Beliau berkata, antara kesalahan dikesan termasuk mencuri elektrik, menjual bekalan elektrik secara haram serta membuat penyambungan tanpa kebenaran.
“Kes mencuri elektrik disiasat mengikut Seksyen 61(3) yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan penjualan elektrik secara haram, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(1)(b) dengan hukuman lebih berat iaitu denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kesalahan penyambungan elektrik tanpa kebenaran pemegang lesen, iaitu Sabah Electricity pula disiasat di bawah Seksyen 61(8), yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Ridwan berkata satu kes berkaitan kecurian dan penjualan elektrik secara haram di penempatan setinggan di Sepanggar kini dalam proses pendakwaan di Mahkamah Kota Kinabalu.
Beliau menegaskan ECoS akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan elektrik, sekali gus memastikan sistem bekalan tenaga di Sabah kekal selamat dan berintegriti. – Info X