Search

USIA AKAN LEBIH MESRA MEDIA SOSIAL DALAM PROGRAM DAKWAH, KATA SAPAWI

July 8, 2022

admin

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad berkata, pertubuhan berkenaan akan menjadikan media sosial sebagai salah satu medan untuk program dakwah mereka.

Katanya, dengan penggunaan media sosial yang sangat meluas ketika ini, ia mampu menjadi satu platform strategik bagi USIA menjalankan dakwah mereka.

“Langkah pertama yang kita akan lakukan adalah mesra media kerana media berperanan memastikan bahawa kita boleh laksana pembangunan.

“Media sosial boleh digunakan bukan sahaja oleh skuad belia USIA, tetapi ustaz serta pegawai kerajaan yang aktif dalam sukarela dakwah.

“Dengan mengamalkan media sosial, mereka boleh membuat atau mengadakan program dakwah secara ‘live’ di Facebook dan ini sebenarnya pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat khas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) USIA di sini, hari ini.

Sementara itu, Sapawi meminta semua kepimpinan baharu bekerja sebagai satu pasukan bagi mencapai misi dan visi yang ditetapkan.

Katanya, kerjasama itu penting bagi megembalikan kegemilangan, mengilap imej dan memperkasa kegiatan dakwah USIA.

“USIA harus seiring dengan tuntutan semasa, iaitu era digitalisasi yang bergerak pantas merentasi seluruh dunia.

“Saya berharap dengan barisan kepimpinan baharu dan perubahan dalam bahagian pengurusan pentadbiran, USIA akan lebih bersedia menghadapi kehendak umat islam keseluruhannya,” katanya.

Sapawi berkata, beliau mempunyai beberapa perancangan strategik untuk dilaksanakan secara berperingkat bagi memperkasa lagi USIA.

“Saya akan menyediakan Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk dijadikan panduan dan penanda aras terhadap usaha yang akan dilaksanakan oleh USIA,” katanya.

Dalam pada itu, Sapawi turut mengumumkan beberapa pelantikan, termasuk Datuk Alipuddin P. Puyon sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Samad Jamri sebagai Naib Yang Dipertua.

Turut diumumkan ialah Iman Ali sebagai Setiausaha Agung, dibantu Zulhaimi Asbi, Sainuri Yahmin sebagai Bendahari Agung dan Datuk Abdullah Hussin sebagai Ketua Penerangan.

Sementara 14 AMT yang dilantik terdiri Datuk Professor Madya Dr Abdul Kadir Rosline, Datuk Dr Mingu Jumaan, Datuk Norjeli Dais, Datin Norlaila Said, Dr Abdul Halim Juanis, Abdul Rahman Tun Sakaran, OKK Jasni Eser, Pajudin Nordin, Harun Pata, Mohd Reduan Datuk Aklee, Nirma Habibi, Sahari Amdan, Rosly Roslan Asing dan Awang Hashim Awang Damit.

Dalam pada itu, Sapawi mengucapkan penghargaan kepada barisan kepimpinan sebelum ini yang diketua Datuk Sairin Karno dan pihak pengurusan yang dipimpin Datuk Hamzah Datuk Mohd Zakaria.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua, Abdul Hakim Gulam Hassan. – Info X