PAPAR: Lebih 30,000 pengunjung membanjiri Dewan Masyarakat Papar bagi memeriahkan Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, hari ini.
Majlis yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu menjadi titik permulaan sambutan Pesta Kaamatan di seluruh Sabah, termasuk penganjuran di beberapa lokasi di Semenanjung dan Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata beliau bersyukur dengan sambutan luar biasa yang ditunjukkan masyarakat terhadap majlis pelancaran berkenaan.
“Saya amat bersyukur kerana kehadiran hari ini begitu ramai. Tahniah kepada Pegawai Daerah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuantim selaku pengerusi pelaksana yang berjaya menjayakan majlis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di sini.
Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kaamatan negeri berkata, kemuncak sambutan akan berlangsung pada 30 dan 31 Mei ini di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang.
Katanya, pelbagai acara kebudayaan telah disusun sepanjang bulan Kaamatan bagi memeriahkan lagi sambutan tahunan itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian”, mencerminkan semangat sebenar perayaan berkenaan.
“Kita mahu Kaamatan menjadi wadah untuk seluruh masyarakat di Sabah bersatu padu dan hidup harmoni walaupun berbeza dari segi etnik dan kepercayaan.
“Inilah nilai yang ingin kita semai bukan sahaja sepanjang bulan Kaamatan, tetapi sepanjang masa,” katanya.
Beliau turut berharap sambutan tahun ini akan terus memperkukuh perpaduan rakyat serta memelihara keharmonian negeri Sabah yang berbilang kaum dan budaya. – Info X