Search

65 warga asing dicekup dalam Ops JIM Sabah

May 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 65 warga asing ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Lahad Datu dan sekitar bandar raya ini, semalam.

JIM Sabah menerusi kenyataan di Facebook, hari ini, memaklumkan tangkapan itu dibuat dalam Ops Sapu di Lahad Datu serta Ops Mahir dan Ops Sapu di Kota Kinabalu.

Menurut kenyataan itu, di Lahad Datu, seramai 69 individu diperiksa dengan 50 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Tangkapan membabitkan warga Filipina iaitu 11 lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.

“Manakala warga Indonesia pula membabitkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu di Kota Kinabalu, operasi Ops Mahir dan Ops Sapu memeriksa 41 individu dengan 15 warga asing ditahan.

“Tangkapan membabitkan warga Filipina iaitu dua lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa, manakala lima lagi adalah warga China terdiri daripada lelaki dewasa,” katanya.

Menurut JIM Sabah, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan tindakan lanjut sedang diambil.

Katanya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang negara. – Info X