Search

Wanita maut nahas kereta dan lori

May 2, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Penampang Baru berhampiran Lemawang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 51 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan selepas tersepit dalam kereta jenis Toyota Inova.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II, Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang sebelum sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Inova dan lori 10 tan yang bertembung dari arah bertentangan.

“Pemandu Toyota Inova didapati tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 5.45 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya. – Info X