TAWAU: Cubaan menyeleweng bahan api gagal apabila 300 liter diesel dirampas dalam satu serahan kes daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Tawau, petang semalam.
Rampasan kira-kira jam 4.40 petang itu membabitkan sebuah kenderaan jenis Isuzu Trooper yang dipercayai diubah suai dengan tangki tambahan bagi menyimpan minyak diesel.
KPDN Sabah dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan menemukan 300 liter diesel di dalam kenderaan berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,445.

“Kes ini diserahkan oleh pihak PDRM kepada KPDN untuk tindakan lanjut dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan termasuk bahan api bersubsidi.
Katanya, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi penguat kuasa lain dalam usaha membanteras kegiatan itu selain memastikan tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui portal rasmi KPDN atau menghubungi talian disediakan. – Info X