PENAMPANG: Aksi ‘rempit’ malam minggu di dua laluan utama berakhir padah apabila dua motosikal disita dalam Operasi Samseng Jalanan, awal pagi tadi.
Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu dijalankan bermula jam 11 malam hingga 3 pagi dengan tumpuan di Jalan Pintas Penampang serta Jalan Papar – Kota Kinabalu.
Dalam suasana jalan yang sunyi namun sesekali dipecah bunyi deruman enjin, anggota trafik melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang mencurigakan selain mengekang aktiviti lumba haram.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, sepanjang operasi itu sembilan kenderaan diperiksa membabitkan lima motokar dan empat motosikal, selain 13 individu turut ditahan untuk pemeriksaan.
“Hasil tindakan itu, sebanyak lapan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
“Dua motosikal turut disita di bawah Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana diubah suai secara berlebihan dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Operasi diketuai Inspektor Rozami Ahmad itu memberi fokus terhadap penunggang yang melakukan pengubahsuaian ekstrem selain berpotensi terlibat dalam kegiatan lumba haram.
Menurut Sammy, operasi seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan jalan raya di daerah ini tidak dijadikan ‘litar’ oleh golongan tidak bertanggungjawab.
Beliau turut mengingatkan golongan remaja dan penunggang motosikal supaya tidak terjebak dengan aktiviti samseng jalanan kerana risikonya bukan sahaja kepada diri sendiri, malah boleh meragut nyawa pengguna lain. – Info X