Search

KDCA Semenanjung digesa perkasa promosi pelancongan domestik Sabah

May 3, 2026

Info X Reporters

MELAKA: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Semenanjung Malaysia digesa memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong usaha agresif Sabah mempromosikan pelancongan domestik, khususnya dalam suasana ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, berkata pendekatan itu penting dengan memanfaatkan keunikan budaya dan tradisi Sabah sebagai tarikan utama negeri berkenaan.

Beliau berkata, dalam situasi semasa, pengukuhan pelancongan domestik perlu diberi keutamaan dengan mengetengahkan kekuatan Sabah yang berasaskan kepelbagaian budaya, tradisi serta warisan kulinari.

“Dalam situasi ini, kita perlu memperkukuh pelancongan domestik dengan mengetengahkan kekuatan Sabah yang berasaskan kepelbagaian budaya, tradisi serta warisan kulinari kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Kaamatan anjuran KDCA Melaka, di sini, pada Sabtu.

Yang turut hadir, Ahli Jawatankuasa Kerja KDCA Pusat, Stanis Buandi; Pengerusi Majlis Wanita KDCA Pusat, Datuk Joanna Kitingan; Pengerusi KDCA Melaka, Scholistica Chin; serta Pengerusi KDCA Johor, Hendrrick Utoi.

Sambutan Kaamatan berkenaan bukan sahaja menghimpunkan masyarakat Sabah di Melaka, malah turut disertai masyarakat tempatan melalui pelbagai acara kebudayaan yang diketengahkan.

Joniston berkata, Sabah mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menarik pelancong dari seluruh negara, termasuk kepelbagaian etnik, keindahan alam semula jadi serta pengalaman budaya yang autentik.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, telah merakamkan klip video khas bagi mempromosikan Pesta Kaamatan ke peringkat antarabangsa, selari dengan usaha memperkenalkan perayaan itu sebagai produk pelancongan budaya yang unik.

Katanya, STB akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk komuniti budaya bagi memastikan sektor pelancongan Sabah kekal berdaya tahan dan kompetitif.

Sehubungan itu, beliau menyeru tujuh cawangan KDCA di Semenanjung iaitu Putrajaya, Lembah Klang, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan supaya berperanan sebagai duta kecil dalam memperluaskan promosi Sabah.

“Jaringan komuniti ini boleh membantu memperluaskan capaian promosi dan menarik lebih ramai pelancong domestik ke Sabah,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, selari dengan usaha merapatkan hubungan antara komuniti pelbagai kaum melalui platform budaya.

Katanya, KDCA di Semenanjung digalakkan untuk terus memperluaskan jemputan kepada masyarakat setempat daripada pelbagai latar belakang bagi memeriahkan sambutan Kaamatan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperkenalkan budaya Sabah dengan lebih meluas, tetapi juga memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian, selaras dengan tema yang diangkat,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat Sabah di perantauan agar terus menyokong serta menghadiri acara kebudayaan anjuran komuniti lain sebagai tanda hormat, keterbukaan dan semangat kebersamaan. – Info X