Search

Latihan kebakaran hospital diuji, ERT HUMS ‘turun padang’

May 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kecekapan bertindak dalam situasi kecemasan diuji apabila pasukan Emergency Response Team (ERT) Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menjalani latihan pemantapan serta simulasi kebakaran selama dua hari, baru-baru ini.

Program yang berlangsung pada 28 hingga 29 April itu dianjurkan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) HUMS dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu.

Perasmian latihan disempurnakan Pengarah HUMS, Malehah Mohd Noh yang menekankan kepentingan kesiapsiagaan warga hospital dalam menghadapi sebarang insiden kecemasan.

Sepanjang latihan, peserta didedahkan dengan teori serta latihan amali dikendalikan pasukan bomba diketuai Penguasa Bomba Kimiremmy Zikol yang turut berkongsi pengalaman sebenar operasi di lapangan.

Peserta terdiri daripada ahli ERT melibatkan pelbagai unit termasuk Pusat Perubatan Primer (PCC), Transitional Care Unit (TCU), Creche/Staff Recreation serta kakitangan syarikat konsesi.

Latihan itu bertujuan memperkukuh pemahaman serta meningkatkan kemahiran anggota ERT sebagai barisan hadapan (first responder) dalam mengendalikan insiden seperti kebakaran di persekitaran hospital.

Selesai latihan, sesi penilaian selepas tindakan (AAR) bersama pihak bomba mendapati tahap kesiapsiagaan peserta berada pada tahap memuaskan, namun penambahbaikan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Pengurusan HUMS turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang menjayakan latihan berkenaan dalam usaha memastikan keselamatan warga hospital sentiasa terpelihara. – Info X